Nik Aziz: Mubarak tersungkur kerana campurtangan Allah

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kejatuhan Hosni Mubarak sebagai presiden Mesir
Sabtu lalu (waktu Malaysia) disebabkan campurtangan Allah.

"Pandangan saya, ia benar-benar merupakan kuasa Allah SWT. Nampak sangat berlakunya campur tangan Allah SWT di dalam menjatuhkan rejim ini.

"Siapa yang menyangka Dataran Tahrir boleh memuatkan tiga juta manusia untuk mendesak Hosni Mubarak berundur?" katanya.

Nik Aziz berkata usaha menjatuhkan Mubarak adalah usaha rakyat Mesir berkampung selama 18 hari di Dataran Tahrir di Kaherah bagi memastikan matlamat tercapai walaupun tanpa jaminan makan minum dan pengurusan seharian mereka.

"Pastinya ia terhasil ekoran perasaan tidak puas hati yang telah sekian lama terpendam. Tanpa peluru dan tanpa senjata, mereka akhirnya berhasil menjatuhkan Mubarak," katanya.

Menurut mursyidul am PAS itu lagi, sejarah negara itu menyaksikan penindasan terhadap para ulama yang begitu lama termasuk oleh Firaun yang mengaku dirinya tuhan.

"Yakinlah, kuasa Allah SWT mengatasi segala-galanya. Allah SWT yang pernah membekukan lautan untuk Nabi Musa itulah juga yang telah menjadikan api menjadi sejuk untuk Nabi Ibrahim.

"Dialah juga yang telah menyelamatkan perjalanan Nabi Muhammad SAW ke Madinah dari dikesan oleh special branch Quraisy.

"Maka, pelikkah jika Allah SWT boleh menjatuhkan mana-mana kerajaan pada hari ini dengan kuasa-Nya?" tegas Nik Aziz dalam satu kenyataan.


Petikan dari malaysiakini

Dr M: Taib jangan jadi Mubarak

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud perlu menamakan penggantinya sebelum berundur daripada mengetuai pentadbiran negeri itu.

Katanya, Abdul Taib perlu bertindak demikian bagi mengelakkan Sarawak mengalami nasib yang sama seperti yang berlaku di Mesir.

Mahathir menjelaskan, presiden Mesir Hosni Mubarak telah meletakkan jawatan namun tidak ada pengganti bagi mengambil alih pentadbiran negara itu.

Mubarak akhirnya berundur daripada jawatan presiden Mesir pada Jumaat (awal pagi Sabtu waktu Malaysia) ekoran demonstrasi berterusan selama 18 hari oleh jutaan rakyat negara itu.

Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu bagaimanapun berkata, proses peralihan kuasa Taib perlu dijalankan dengan tertib.

Katanya, beliau menyerahkan kepada rakyat Sarawak bagi memutuskan waktu yang sesuai untuk Taib berundur.

Mahathir berkata demikian dalam satu sidang media selepas melancarkan satu NGO berkaitan kebudayaan Palestin di Shah Alam hari ini.

Abdul Taib pada minggu lalu berkata, belaui mengakui akan berundur daripada jawatannya yang dipegang sejak tahun 1981 itu.

Katanya, beliau akan bertindak demikian setelah mendapat pengganti yang sesuai bagi jawatannya itu.

Petikan dari Malaysiakini